Teks: Noor Azila Mohamad
Foto: Google image & koleksi peribadi
Assalammualaikum..
Saya pasti semua orang
pernah merasa diuji, sama ada ujian kecil ataupun ujian besar. Apabila
kita diuji dengan kesakitan, perpisahan, kegagalan, kemiskinan dan
pelbagai lagi, kadang-kadang terdetik juga didalam hati, "Kenapa mesti
aku?, apakah tuhan tidak sayangkan aku?' Kenapa mesti aku diuji seberat
dan sekerap begini?". Subhanallah, tanpa kita sedari, kita seolah-olah
sudah mempersoalkan kuasa Tuhan, padahal kita hanya hambaNya. Hamba
tidak berhak menyoal, sebaliknya akan disoal. Namun itulah kelemahan
manusia.
Antara hikmah ujian,
seseorang itu akan berbalik kepada tuhanNya dan menjadi hamba Allah yang
taat. Yang mana selama ini, jalan itu disekat oleh hawa nafsu. Sebab
ujian itu bertentangan dengan keinginan dan kehendak nafsu manusia.
Nafsu itu tidak suka pada sakit, rugi, miskin dan sebagainya. Lalu
apabila diuji, nafsu itulah yang terdesak, tidak senang dan ingin segera
keluar daripada ujian itu. Jadi apabila nafsu terdesak, hati dan akal
akan terbuka. Inilah jalan kebaikan, kerana ajakan untuk melakukan
kejahatan akan turut tertahan, kerana nafsu itu sangat mengajak pada
kejahatan. Ujian itu sesugguhnya akan melemahkankan nafsu, menghilangkan
kekuatannya serta batalkan kudratnya. Bila nafsu lemah, manusia tidak
akan jatuh ke lembah dosa (mengejar keseronokan dunia sehingga melupakan
batasan syariat).
Ujian juga mampu
mendidik hati untuk redha dan tawakal, kerana Qada dan Qadar-Nya mesti
berlaku. Manusia akan lebih dekat dengan agama, kepentingan akhirat,
cinta kepada Allah. Hikmah ini walaupun sebesar zarah tetapi apabila
melekat di hati kebaikannya lebih tinggi dari amal lahiriah walaupun
sebesar gunung. Inilah kebaikan di sebalik kepahitan ujian. Justeru,
Allah berfirman:
“…Dan boleh jadi kamu
menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah
mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu.” (Surah Al Baqarah : 216).
Kita mungkin boleh
bercakap yang kita beriman pada Qada dan Qadar-Nya sebelum kita diuji,
tetapi apabila kita diuji dengan ujian yang berat adakah kita rasa kita
mampu menghadapinya. Hanya ujian Allah yang mampu menguji keimanan
seseorang. Saya sendiri akui, saya juga insan yang lemah, saya pernah
rasa berputus asa saat diuji, Alhamdulillah, sokongan suami menyedarkan
saya, bahawa saya seolah-olah menyalahkan takdir tanpa saya sedari.
Ujian paling berat yang
pernah saya rasakan, sewaktu saya terpaksa membuat keputusan untuk
membenarkan Doktor menjalankan 'major operation' ke atas anak yang baru
berusia 9 bulan. Hanya beberapa jam untuk membuat keputusan, jika tidak
dibedah akan memudaratkan dan jika dibedah juga bergantung kepada
kekuatan si kecil. Ya Allah, hati ibu mana yang mampu melihat anak
menderita, hati ibu mana sanggup melihat anak menangis kerana kesakitan,
hati ibu mana yang dapat bertahan di kala anak terpaksa berpuasa
sebelum dan selepas pembedahan. Saya akui, saya insan yang lemah untuk
menghadapi segalanya. Saya menyalahkan diri sendiri, air mata mengalir
tiap kali melihat si kecil. Ketika itu juga, kali pertama sepanjang
perkahwinan saya, saya melihat suami mengalirkan air mata.
Walaupun begitu, suami
tetap cuba memberikan semangat dan kekuatan. Ibu dan ayah juga sentiasa
ada disaat saya sangat memerlukan mereka. Alhamdulillah, saya mula
tersedar, hanya Allah yang berkuasa atas segalanya. Saya cuba
perbanyakkan doa dan mendekatkan diri dengan Allah.
Oleh itu, apabila diuji, terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir Allah yang tidak ada hikmahnya. Orang soleh bila diuji, hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka kepada Allah. In shaa Allah. Semoga kita sentiasa di bawah perlindunganNya.
Oleh itu, apabila diuji, terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir Allah yang tidak ada hikmahnya. Orang soleh bila diuji, hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka kepada Allah. In shaa Allah. Semoga kita sentiasa di bawah perlindunganNya.
No comments:
Post a Comment